Followers

Saturday, March 28, 2009

IBM sumbang komputer untuk 35 kelas prasekolah

SEJUMLAH 35 lagi kelas prasekolah Kementerian Pelajaran akan menerima set komputer Young Explorer KidSmart tahun ini menjadikan keseluruhan 311 kelas berkenaan di seluruh negara mendapat kemudahan pengajaran dan pembelajaran itu, sejak 2002.

Kemudahan itu disumbangkan syarikat perisian global, IBM Malaysia Sdn Bhd (IBM) menerusi Program Pembelajaran KidSmart Early Learning, antara lain bagi membolehkan kanak-kanak prasekolah mendapat pendedahan awal teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menggunakan modul ala sekolah bestari dan bahasa Inggeris sebagai pengantar subjek Sains dan Matematik.

Pengarah Bahagian Sekolah, Kementerian Pelajaran, Zulkifly Mohd Wazir, berkata pelaksanaan pembelajaran berbantukan komputer di kelas prasekolah itu sebahagian daripada usaha mendedahkan kanak-kanak terbabit terhadap peralatan canggih berkenaan dan pada masa sama menguasai bahasa Inggeris.

“Berdasarkan penilaian, komputer sebagai peralatan mengajar Sains dan Matematik serta penggunaan bahasa berkaitan ICT amat sesuai kerana ia dapat merangsang kanak-kanak terbabit mengikuti pelajaran disampaikan dengan baik.

“Perkembangan ini membanggakan kita kerana apabila melangkah ke sekolah rendah nanti, kanak-kanak terbabit mempunyai pengetahuan tinggi dan mendahului rakan mereka yang lain,” katanya selepas merasmikan Seminar Pengurusan Pendidikan Prasekolah, Kementerian Pelajaran dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kementerian Pelajaran dan IBM di Shah Alam, semalam.

MoU ditandatangani Zulkifly yang mewakili Kementerian Pelajaran, manakala IBM diwakili Pengarah Bahagian Program Kerajaan, Hasanuddin Saidin dan disaksikan Ketua Unit Prasekolah, Zulkernai Fauzi.

Seramai 200 peserta di kalangan guru dan pegawai program prasekolah, jabatan pelajaran negeri menyertai seminar bermatlamat melengkapkan peserta dengan pengetahuan, kemahiran dan teknik sesuai dalam menjana kecemerlangan pengurusan pendidikan awal kanak-kanak secara menyeluruh.

Zulkifly berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan IBM memantau perkembangan prasekolah terbabit bagi memastikan kanak-kanak menguasai pembelajaran menerusi kemudahan dan program yang diperkenalkan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.